Friday, August 6, 2010

north port

CUBA bayang dan fikirkan macam mana perasaan Junaidi Sulaiman yang juga Ahli Jawatankuasa Kesatuan Kakitangan Northport (M) Sdn Bhd yang terpaksa mengutip cebisan mayat rakan sendiri yang mati kemalangan gara-gara motosikalnya terjatuh dalam lubang yang kemudian digilis treler sapu.


Mayat hancur berkecai. Keluar rumah untuk mencari rezeki namun ajal yang menanti. Hidup dan mati memang ketentuan Allah SWT, namun kita yang hidup mesti berusaha memantau kelalaian manusia hingga membawa padah.

Kejadian yang mengerikan itu berlaku setahun lalu di atas jalan raya yang menghala ke Pelabuhan Utara dan tragedi menyayat hati itu masih menghantui Junaidi sehingga kini. Itu baru kisah Junaidi, banyak lagi cerita lain daripada 17,000 penduduk yang menetap sekitar daerah itu manakala 2,500 lagi pekerja mencari rezeki di pelabuhan berkenaan.

Aduan yang diterima Talian Hayat bukanlah keadaan pelabuhan itu tetapi jalan raya yang menghala ke sana bagaikan perangkap maut kepada pengguna jalan raya terutama penunggang dan pembonceng motosikal. Sebahagian daripada pengadu berkenaan adalah kakitangan pelabuhan itu yang juga pengguna utama jalan raya berkenaan.

Penerbit dan Pengacara program itu, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim atau Wan K yang membuat tinjauan mengenai masalah itu berkata, Pelabuhan Utara atau lebih dikenali sebagai North Port adalah pelabuhan ke-16 paling sibuk di dunia.

“Ia menjadi kebanggaan ­rakyat Malaysia terutama ­masyarakat sekitarnya. Memang tiada masalah langsung dengan keadaan di pelabuhan itu yang serba canggih dan moden. “Pelabuhan itu juga pernah menggondol Anugerah Pelabuhan Terbaik Asia oleh Asian Freight And Supply Chain Awards (AFSCAS) untuk dua tahun berturut-turut. Anugerah itu diterima di Hong Kong pada 2009 dan Shanghai, Mei lalu. “Di samping itu, pelabuhan itu juga turut menerima jolokan ‘Economic Gateway’ di Malaysia. Bagaimanapun, berbeza sekali dengan kualiti jalan raya sepanjang laluan ke sana yang rosak teruk dan lampu jalan tidak berfungsi dengan baik. Untuk ke sana, saya dan kru Talian Hayat melalui bandar Pelabuhan Kelang yang terang-benderang, namun suasana bertukar gelita sebaik menghala ke Pelabuhan Utara.

“Laluan itu hanya diterangi lampu kenderaan yang sekejap terang, sekejap gelap. Mengejutkan apabila rakaman lensa kamera Talian Hayat mendapati laluan menuju ke sana sejauh 10 kilometer berdepan situasi itu. “Purata kenderaan khususnya kenderaan berat yang keluar masuk menggunakan laluan itu hampir 10,000 sehari. Selain suasana gelap, keadaan jalan tidak rata, berlubang dan tidak diturap dengan sempurna. Setiap hari melalui laluan yang seperti jongkang-jongkit itu ­boleh membuatkan penggunanya sakit pinggang.

“Barangkali mereka yang menaiki kereta agak selamat tapi kos penyelenggaraan kenderaan tetap tinggi kerana tahu sajalah kalau terlalu kerap ­melanggar lubang. Namun keadaan mereka yang menunggang dan ­membonceng motosikal lagi bahaya yang berasakan setiap hari nyawa mereka berada di hujung tanduk,” katanya. Tambahan lagi, tegas Wan K, kenderaan berat yang ­berurusan di pelabuhan itu memecut laju tanpa mempedulikan pengguna lain. Penunggang motosikal tiada pilihan ­kerana memang tiada disediakan laluan khas untuk mereka. Agaknya kata Wan K, penilaian AFSCAS ke atas pelabuhan itu tidak termasuk keadaan jalan rayanya. Jalan yang bermasalah ini di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya.

Bagi Ahmat Abu yang sudah berkhidmat di pelabuhan itu selama 37 tahun, ada ketika terpaksa tebalkan muka tidak tahan menanggung malu dengan kapten dan anak kapal dari luar negara yang berlabuh di sana. Keadaan jalan raya itu menjadi bahan sindiran mereka. “Dulu jalan itu OK tapi sejak dua tahun kebelakangan ini, ia menjadi mimpi ngeri buat kami. Lebih teruk apabila saya hadir forum peringkat serantau ­membuatkan saya panas telinga dan merah padam muka apabila ada yang mengkritik ­laluan ke situ. Kebanyakan anak kapal keluar dari pelabuhan itu apabila hendak balik semula ke pelabuhan mesti sesat.

“Mereka tertanya-tanya juga kenapa jalan ke Pelabuhan Barat jauh lebih baik berbanding jalan ke Pelabuhan Utara. Barangkali pihak yang ­bertanggungjawab menyelia jalan itu terlepas pandang,” katanya.

Berbalik kepada kisah Junadi tadi, apakah lagi bukti yang hendak ditunjukkan kepada ­pihak berkaitan bagi meyakinkan mereka mengenai masalah pengguna jalan raya itu yang kian kronik? “Apakah cebisan mayat yang bertaburan di jalan belum cukup menguatkan rayuan pengguna jalan raya itu supaya laluan itu diperbaiki dan lampu dipasang terang. Banyak kemalangan berlaku di atas jalan itu termasuk langgar lari,” katanya.

Untuk mengetahui apakah penyelesaian yang diambil ­Talian Hayat, saksikan program itu di ntv7, jam 7.30 malam ini. Mereka yang ingin membuat aduan atau menghadapi masalah boleh menghubungi 017-8188121 atau e-mel ke talianhayat@otoview.com.my. Aduan juga boleh dibuat di laman http://www.ntv7.com.my/.










2 comments:

mamashasha said...

mmg seriau betul lalu jalan tu...west port pun sama mala...

HayatRaihan said...

sy tau ..kwsn tu mmg bahaya..rumah sy pun di situ.,.jalan mmg teruk..di pelabuhan barat pun teruk..tp byk kali di baiki dan di tar..

:: we belong together ::

Daisypath Anniversary Years Ticker

:: my asham boyyy ::

Lilypie Kids Birthday tickers

:: my asham kepinggg ::

Lilypie Fourth Birthday tickers